MED cadang setiap Parlimen hasilkan 200 usahawan baharu

MELAKA - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mencadangkan agar setiap kawasan parlimen cuba menghasilkan 200 orang usahawan setiap tahun.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata usaha itu bertujuan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 50,000 usahawan baharu di seluruh negara setiap tahun.

“Saya akan bertemu dengan semua ahli Parlimen, baik dari kerajaan dan pembangkang supaya dapat bersama-sama membantu pembinaan usahawan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka di Dewan Seri Negeri hari ini.

Sementara itu beliau berkata kementerian Pembangunan Usahawan sedang berusaha menghidupkan kembali lebih kurang 4,000 buah koperasi yang tidak aktif agar ianya kembali cergas terlibat dengan lebih kukuh dalam industri.

“Kita tidak mahu melihat koperasi yang tidak aktif ini terus hanyut, sebaliknya mereka perlu bergiat aktif,” katanya dan menambah dengan jumlah 14,000 koperasi dalam negara ketika ini MED berazam untuk menjadikan koperasi sebagai tonggak penting penyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu Mohd Hatta berkata pihaknya akan terus memberi sokongan kepada lebih kurang 2,000 koperasi sekolah dalam usaha membina minat pelajar kepada bidang usahawan.

“Kita tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih daripada koperasi sekolah, namun ia merupakan platform terbaik dalam mendidik anak muda terlibat dalam bidang keusahawanan dan mereka mempunyai daya kreativiti yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, pada istiadat penganugerahan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Jamil Salleh, mendahului senarai 293 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Melaka.
Jamil adalah salah seorang daripada tiga penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu Mohd Hatta adalah salah seorang daripada empat penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM).

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob turut menganugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada lapan penerima dan diikuti Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk kepada 38 penerima termasuk Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Datuk Mohd Nor Yhazid Idris.

Seramai 19 orang pula menerima Darjah Seri Melaka (DSM) diikuti 32 orang menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 48 Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 72 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 65 Pingat Bakti Masyarakat (PBM), dan empat orang menerima Pingat Khidmat Lama (PKL). – Bernama

Comments