Kementerian yakin lahir sejuta usahawan - menteri Kementerian Pembangunan Usahawan

14 NOVEMBER 2018

JOHOR BAHRU - Kementerian Pembangunan Usahawan yakin sasaran melahirkan sejuta usahawan kecil dan sederhana dalam tempoh lima tahun akan datang mampu direalisasikan.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, seramai 50,000 usahawan kecil dan sederhana diperlukan setahun bagi mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan setiap tahun.
"Kita buat pengiraan, kalau kita dapat meneruskan pentadbiran yang baik. Sejuta peluang pekerjaan itu boleh diwujudkan dalam masa lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Mini Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) Johor di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, semalam.

Mohd Redzuan berkata, sasaran itu juga mampu direalisasikan jika semua pihak di peringkat kementerian dan agensi saling memahami antara satu sama lain.
Selain itu, beliau berharap golongan usahawan termasuklah yang baru berjinak dalam bidang tersebut tampil menjalankan perusahaan dengan kreativiti sendiri.
"Kreatif menceburi bidang usahawan dengan cara tersendiri, tidak meniru-niru.
"Selalunya mereka yang gagal ini kerana meniru sahaja. Mereka tidak mendahului kemudian gagal kerana meniru benda yang tak betul dan tak faham apa yang diusahakan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Menterinya, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, jumlah itu tidak mustahil dapat dicapai jika semua pihak berganding bahu dalam melahirkan usahawan baharu, terutama generasi muda.

Katanya, kementerian meletakkan sasaran melahirkan kira-kira 200,000 usahawan setahun di seluruh negara dengan menumpukan perhatian kepada golongan B40 dan yang baru menamatkan pengajian.

Comments